Saturday, 29 August 2015

LAGU KEBANGSAAN

SEJARAH LAGU NEGARAKU

Lagu Kebangsaan dicipta pada tahun 1957 dan pemilihan lagu ini dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Irama ‘Negaraku’ dipetik daripada irama lagu negeri Perak. Lagu negeri Perak pula mendapat ilham asal daripada lagu “Terang Bulan” yang merupakan lagu yang amat disukai oleh Sultan Abdullah, Sultan Perak, ketika baginda dalam buangan di Pulau Seychelles. ‘Negaraku’ menekankan taat setia dan perpaduan rakyat untuk kemajuan negara. Lagu ini berperanan untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan tanah air. Idea untuk mencipta Lagu Kebangsaan timbul ketika negara sedang bersiap menyambut hari kemerdekaan. Lagu Kebangsaan perlu diperdengarkan dalam upacara pengisytiharan kemerdekaan yang ditetapkan pada 31 Ogos 1957.
Lantaran itu, pada bulan Februari 1957, satu pertandingan mencipta lagu rasmi telah diadakan. Namun empat lagu akhir yang telah disenarai pendek telah ditolak oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK) yang diketuai sendiri oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebaliknya mengesyorkan lagu Negeri Perak sebagai asas bagi mencipta Lagu Kebangsaan Negara Malaysia. Cadangan itu telah dipersetujui oleh ahli JKPLK yang lain. Skor lagu ‘Negaraku’ telah disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik, Pancaragam Polis Diraja), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dickson) dan A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaya). Seni kata Lagu Kebangsaan “Negaraku” telah disediakan oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan persetujuan Sultan-Sultan Tanah Melayu.
Lagu Kebangsaan ‘Negaraku’ diperdengarkan buat julung kalinya selepas detik 12 malam di ambang 31 Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor. Pada malam bersejarah tersebut, bendera Union Jack telah diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, diiringi dengan Lagu Kebangsaan ‘Negaraku’. Bermula dari detik inilah, lagu ‘Negaraku’ terus kekal menjadi lagu rasmi negara.

Monday, 24 August 2015

Sejarah Bendera Malaysia
Sejarah Bendera Malaysia bermula apabila Majlis Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan satu Jawatankuasa pada tahun 1949 untuk menimbang serta membuat perakuan berkenaan dengan Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Satu pertandingan merekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. 373 orang telah mengambil bahagian didalam pertandingan ini dan tiga rekabentuk bendera telah dipilih ke peringkat akhir:
  • Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.
  • Reka bentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris Bersilang tersebut.
  • Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
malaysia flag


Sebelum memilih rekabentuk bendera yang menjadi juara, Majlis Perundangan Persekutuan telah menjemput orang ramai untuk memberi pendapat masing-masing tentang rekebentuk yang disukai oleh mereka. Pendapat umum ini telah disiarkan oleh The Malay Mail.

Pada 28 November 1949, keputusan telah dibuat berdasarkan suara majoriti orang ramai yang memilih reka bentuk ketiga yang dicipta oleh seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.
Mohamad

Pada 22 dan 23 Februari 1950, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan.

Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-

Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

Rekabentuk tersebut diubah dengan menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi raja-raja Melayu dan juga menambah bucu bintang kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu.


Thursday, 6 August 2015

SEJARAH TUGU NEGARA

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

Blog kami dibuat bukan untuk meluahkan perasaan atau menceritakan mengenai percintaan tetapi blog kami hanya untuk menceritakan tentang sejarah yang berkaitan dengan negara Malaysia.

Cerita pertama kami ialah kami akan menceritakan tentang sejarah Tugu Peringatan Negara atau lebih dikenali sebagai Tugu Negara.Tugu ini dibuat bagi memberi penghormatan kepada mereka(prajurit)yang gugur dalam peperangan semasa mempertahankan tanah air tercinta.Tugu ini dibuat berhampiran dengan bangunan parlimen di Kuala Lumpur.
Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibarkan bendera negara iaitu Jalur Gemilang.Setiap patung gangsa tersebut mempunyai makna tersirat iaitu kepimpinan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan .Tugu Negara ini dibina pada tahun 1966 setinggi 15 meter dan diperbuat daripada gangsa . Tugu ini direka oleh pengukir Austria,Felix de Weldon yang telah diilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Kisah Tugu Peringatan dan Tugu Negara Malaysia
Kisah Tugu Peringatan dan Tugu Negara MalaysiaAsas tugu yang tertulis "Dedicated To The Heroic Fighters In The Cause Of Peace And Freedom, May The Blessing Of Allah Be Upon Them" serta "Memperingati Perwira-Perwira Yang Berjuang Untuk Menegakkan Keamanan Dan Kebebasan, Moga2 Allah Cucurkan Rahmat Ke Atas Mereka" dalam tulisan jawi diletakkan pada bahagian kiri dan kanan Jata Negara. Hari Pahlawan juga telah ditetapkan pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati dan memberi penghormatan kepada mereka yang telah berjuang untuk mempertahankan Negara.

Kami pasti pasti rakan-rakan yang lain tidak tahu bahawa tugu negara ini pernah diletupkan oleh komunis pada tahun 26hb Ogos 1975, pada jam 5.00pagi.
Kesan dari letupan tersebut telah memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh dari kedudukan asal. Kerja membaikpulih Tugu Negara telah siap pada 11 April 1977 oleh Christoper Carney, Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Institut Teknologi Mara.

Kesimpulannya disini,sebelum kemerdekaan,nenek moyang kita sanggup menggadaikan nyawa dan harta benda untuk mencapainya.Namun mengapa pada zaman moden ini generasi muda sanggup memusnahkan negara sendiri untuk kepentingan diri sendiri? 
Saling bermusuhan tidak kira kaum,berbangga dengan negara lain tanpa menghormati negara sendiri dan sebagainya.Adakah generasi muda kini telah melupakan jasa pejuang-pejuang tanah air yang telah sanggup menggadaikan nyawa mereka?
Jawapannya hanya ada pada diri anda.

Setakat ini sahaja yang dapat kami kongsikan.Kami akan ceritakan lagi tentang sejarah negara pada hari selanjutnya.


Sunday, 2 August 2015

Pengenalan...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera :) Blog ini direka adalah atas dasar melaksanakan kajian bagi pengajian malaysia, di mana kami terdiri daripada 4 orang dalam satu kumpulan. Saya,  Fatin Anissa binti Mohd Radzuan Hairi (23DIB15F1044), Nurul Amiera binti Abdul Karim (23DIB15F1027), Nur Filzah Afiqah binti Ramzan (23DIB15F1037), dan Siti Fatimah binti Mohd Ruslan (23DIB15F1032). Kami ialah pelajar diploma semester 1 dari Politeknik Nilai, jurusan kewangan dan perbankan Islam.